Sunday, March 27, 2011
Bencana Mengajar Kita Mengharap
Nasihat dan peringatan tidak hanya datang dalam bentuk ucapan para nabi-nabi dan seterusnya pewarisnya bersandarkan kitabullah. Bahkan juga kejadian alam sekeliling bermula dari terbit fajar sehinggalah terbenam matahari. Pada mereka yang berfikir sudah tentu akan mempersoalkan bagaimana hal ini wujud dan diuruskan dengan begitu baik sekali.
Sudah tentulah akhirnya nanti kita akan meletakkan kepada sang Maha Berkuasalah yang menentukan segala-gala. Bagi seorang Muslim Allah SWT lah yang mentadbir alam ini. Hanya Raja segala Raja berhak menentukan perjalanan alam ini.
Namun setiap yang bermula pasti akan berakhir kecuali Rab yang satu. Dia yang menciptakanya dan Dia jualah yag akan menghilangkannya. Sebagaimana firmanNya di dalam surah Al Zalzalah
[99.1]Apabila bumi digegarkan dengan gegaran yang sedahsyat-dahsyatnya,
[99.2] Serta bumi itu mengeluarkan segala isinya,
[99.3] Dan berkatalah manusia (dengan perasaan gerun); "Apa yang sudah terjadi kepada bumi?"
[99.4] Pada hari itu bumipun menceritakan khabar beritanya:
[99.5] Bahawa Tuhanmu telah memerintahnya (berlaku demikian).
[99.6] Pada hari itu manusia akan keluar berselerak (dari kubur masing-masing) - untuk diperlihatkan kepada mereka (balasan) amal-amal mereka.
[99.7] Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)!
[99.8] Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)!
Sesungguhnya peringatan tentang kedatangan hari kiamat bukan sahaja diceritakan di dalam Al Quran bahkan juga ditunjukkan melalui fenomena alam. Lihatlah kedasyatan yang berlaku di negara Jepun. Bagaimana mudahnya Allah kalau hendak menghancurkan sesebuah negeri. Hanya dengan simbahan air laut, pekan yang penuh dengan warna-warni kehidupan langsung bertukar menjadi padang jarak padang terkukur. Sekelip mana hilang segala yang dibanggai selama ini.
Bagi insan yang mengakui hakikat kehambaan sepatutnya kita semua mengambil peristiwa ini sebagai peringatan penting agar mempersiapkan diri dalam menghadapi hari akhirat. Samada hayat kita diakhiri dengan kedatangan kiamat mahu pun jemputan dari sang Izrail.
Keimanan kepada Qada dan Qadar seharusnya melengkapkan lagi kehambaan diri kita kepada Allah SWT. Kerana akan ada sahaja perkara yang diluar jangka yang akan berlaku pada bila-bila masa. Sesama mannusia mungkin kita boleh berbangga dengan kehebatan akal fikiran yang membuahkan pelagai teknologi canggih. Tetapi bandingan ini tidak terpakai apabila berdepan dengan perintah Allah SWT. Perintah Allah melampaui bahasa manusia dan haiwan bahkan bukit bukau gunung ganang air di laut dan segala isi alam ini termasuklah bintang-bintang yang berkelip.
Akhirnya sebagai hamba, patutlah ada sifat mengharap belas kasihan dari Allah SWT. Sesungguhnya Allah bersangka dengan sebagaimana kita sangkakan. Janganlah sekali-kali hilang mengharap kepada Allah lantaran bala bencana yang menimpa. Kerana tidak ada kasih sayang yang lebih mulia dari kasih sayang Allah kepada hambanya. Bahkan Allah berfirman di dalam hadis qudsiNya bawalah dosa kamu sepenuh bumi pun kepadaKu, Aku tiada peduli (banyaknya itu) dan Aku akan memberi keampunan kepadamu selagi masa Aku tidak disekutukan.
Bersangka baiklah dengn Allah. Boleh jadi musibah yang menimpa adalah kafarah dosa yang telah dilakukan....


0 Comments:
Post a Comment