Sunday, March 27, 2011

2 Golongan Yang Wajib Dijauhi

Khutbah yang disampaikan khatib jemputan Ust Dasuki di Masjid As Salam Bukit Sentosa amat menyentuh diri ini sehingga berlinangan air mata lantaran dosa yang tak terpikul apabila dikenang. Jauh sungguh rupa diri ini dengan sunnah Rasulullah apatah lagi tanggungjawab mendokong perjuang suci baginda.

Semasa hayat baginda tidak pernah sekali kelahiran baginda diraikan oleh para sahabat dan golongan mukmin. Bahkan para sahabat juga tidak pula menyambut sambutan Maulid sebagai tanda mengingati Rasulullah SAW. Hanya warisan sunnah yang ditinggalkan mengingatkan mereka kepada kekasih Allah SWT. Dekatnya hati mereka sehingga ada sahabat yang tidak sanggup tinggal di Mekah lantaran perasaan yang terlalu rindu kepada baginda SAW.

Tetapi kelahiran baginda dinanti dan disambut oleh 2 golongan yang akan memusuhi Rasulullah SAW. Bani Israel acapkali mengwar-warkan kedatangan utusan Allah yang akan membawa syariat sebagaimana nabi-nabi yang terdahulu. Begitu dengan Abu Lahab bapa saudara nabi yang sangat suka dengan kelahiran baginda SAW. Bahkan diriwayatkan bagaimana pemurahnya Abu Lahab sehingga dimerdekakan hamba yang membawa berita gembira tersebut.

Namun kegembiraan dan penanti mereka berakhir dengan perasan benci dan dendam kesumat yang tidak terperi. Kerana itulah menjadi kewajiban untuk umat Islam untuk mengenali sifat 2 golongan ini dan seterusnya menjauhinya.

Bani Israel sememangnya berbangga dengan bangsa mereka yang dianugerahkan Allah SWT sebegitu ramai nabi diturunkan dikalangan mereka. Kebanggaan ini menjadikan mereka merasa angkuh dan sombong terhadap bangsa yang lain. Buktinya telah kita saksikan sehingga ke hari nie. Walapun kebenaran yang dibawa Nabi Muhammad diakui oleh alim ulama Yahudi tetapi lantaran perbezaan warna dan rupa menjadi persoalan yang besar untuk mereka menerima Rasulullah SAW.

Sikap ini kalau diamat-amati semamang wujud dalam dunia Melayu. Perbezaan idealogi menjadikan syariat Allah SWT bahan sepak terajang di dalam kancah politik tanah air. Kebenaran Islam dinafikan kerana ia dikeluarkan dari pihak lawan. Amat berat sekali mengakui keunggulan Islam dan menonjolkan dalam diri penganutnya. Lebih dasyat lagi apabila hukum Allah dipersendakan dan dinafikan. Kerana itu maksiat terus berleluasa bahkan kejuaraan umat Melayu di dalam kemungkaran telah diiktiraf oleh pihak lawan dan kawan.

Begitu juga dengan sikap Abu Lahab. Ya Abu Lahab sangat suka dengan Muhammad. Bah dia mengaku Muhammad ini anaknya. Tetapi apabila anak ini mula menunjukkan jalan kebenaran maka dalam sekelip mata perasan sayang berubah menjadi benci. Ini juga ada di dalam dunia Melayu. Di suatu ketika para sarjana Islam diangkat setinggi-tinggi yang boleh. Namun apabila teguran demi teguran, nasihat demi nasihat diberikan olah sarjana ini mereka mula menjauhi darinya. Lihat sahaja para sarjana ilmuan Islam yang terkial-kial di dalam menyampaikan dakwah pada golongan Abu Lahab ini. Ibarat ayam tak patut itik tak menyudu. Lebih menyedihkan apabila para sarjana dilihat tidak lebih dari pencacai yang mencacai apabila diperlukan untuk membenarkan cakap-cakap Abu Lahab. Semua hanya kerana ingin menjaga laba dunia yang tidak pernah kenyang untuk di'melantak'kan.

Inilah 2 contoh golongan yang harus diambil pengajaran darinya. Bagi yang mengerti akan fahamlah mengapa sekian lama bangsa Melayu 'berbalah' sehingga bangsa lain tidak lagi hairan.

0 Comments: